Google Website Translator Gadget

Saturday, August 13, 2011

Cadangan Koperasi Untuk Menerbitkan Majalah Kod Sumber

Setakat ini cadangan penubuhan Koperasi Sumber Terbuka telah mendapat minat dari 100 orang dari seluruh pelusuk Malaysia. Negeri Selangor mendahului dengan 40 orang yang berminat sebagai bakal ahli pengasas koperasi, bermaksud dengan lagi 10 orang, penubuhan Koperasi Sumber Terbuka Selangor Berhad boleh dibuat secara rasmi.

Dengan adanya legal entity berkenaan, Koperasi akan dapat membuka akaun bank serta membuat aktiviti dengan sendirinya, serta dikongsi bersama oleh ahli-ahli. Berlainan dengan syarikat persendirian Sdn. Bhd. peluang untuk berkongsi pelaburan dan pulangan dividen boleh dibuat secara terbuka, serta akaun dan pengurusan dibentangkan secara telus kepada ahli-ahli menerusi mesyuarat agung tahunan.

Aktiviti utama yang dicadangkan oleh Ahli Jawatankuasa Penaja adalah penerbitan majalah, yang buat masa ini, diberi judul Kod Sumber. Saudara Apogeek telah berbesar hati untuk menciptakan satu mock-up bagi majalah berkenaan, serta berkongsi pengalaman dalam merangka pelan perniagaan bagi majalah berkenaan.


Majalah ini disasarkan sebagai majalah teknikal bagi pentadbir sistem, pengaturcara, pelajar, pengajar, penyelidik dan pembangun perisian komputer. Ini akan memberi nafas baru dalam pasaran tempatan yang mana majalah-majalah komputer sekarang lebih menjurus kepada pengguna end-user.

Sebagai sebuah majalah teknikal, diharapkan ianya dapat membantu untuk meningkatkan pengetahuan serta kepakaran, khususnya, yang melibatkan perisian sumber terbuka. Ianya juga memberi satu saluran untuk syarikat dan usahawan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran kepada kelompok sasaran (target audience).

Bagi merealisasikan majalah ini, Koperasi memerlukan anda untuk bersama menjadi ahli pengasas Koperasi. Borang untuk mendaftarkan minat anda untuk menjadi sebahagian dari usaha ini boleh dibuat secara online di http://bit.ly/n3I5p2 .

No comments: