Google Website Translator Gadget

Saturday, April 28, 2012

Status Projek Tembikai, Tomato dan Rock Melon Pada 28 April 2012

Ulasan ringkas status projek tembikai dan rock melon pada 28 April 2012. Tanaman tembikai sudah mula berbuah setelah 2 bulan, manakala rock melon baru dipindahkan dari semaian ke tapak tanaman setelah 3 minggu. Manakala tanaman tomato diubahsuai sedikit tapak.

Tanaman tembikai terus tumbuh dengan baik. Setelah seminggu berbunga, pagi ini anak saya perasan sudah pun mula berbuah. Terdapat tiga buah bersaiz kecil diantara 2 inci dan 4 inci ukur lilit. Puas hati rasanya kerana hasil sudah berbuah.

Tanaman tembikai mula berbuah


Tanaman tomato masih tetap setinggi dua inci. Jadi pagi ini saya korek semula 2 tanaman tomato berkenaan dan gemburkan tapak tanah sedalam 6 inci, juga ditambah baja NPK. Kemudian tanam semula dan siramkan air yang banyak. Bila gunakan baja NPK, berikan siraman air yang lebih, untuk menyejukkan tanaman.

Pagi ini juga saya sediakan tapak baru selebar 1 kaki dan sepanjang 5 kaki untuk 3 semaian rock melon. Semaian rock melon telah tumbuh setinggi 2 inci dan mempunyai 3 kelopak daun. Semaian dibuat dalam bekas plastik dan tanah kompost. Tapak dibersihkan dari rumput, kemudian digemburkan sedalam 6 inci. Pada tapak setiap tanaman dijarakkan lebih 1 kaki diantara setiap satu. Bila sudah tumbuh besar, tapak masih boleh dilebarkan ke 3 kaki. Juga diberikan baja NPK dan disiram air.

Tapak tanaman rock melon

Manakala semaian terung masih lagi setinggi 2 inci, tidak banyak perubahan boleh dilihat, mungkin lagi 2 minggu boleh dipindahkan ke tapak tanaman. Untuk semaian lada solok, baru 1 yang sudah bercambah kurang 1 inci, dari 12 biji yang disemai. Ini baru 1 minggu disemai, jadi perlu tunggu lagi 1 minggu.

Saya juga sudah menempah 1 set alat siraman berkuasa solar. Set ini mempunyai panel solar, pam air dan muncung siraman. Dengan alat ini, saya boleh buat takungan air, letakkan pam dalam air, hadapkan panel solar ke arah barat, dan bila waktu petang cahaya matahari akan memberi kuasa kepada pam untuk siramkan air ke tanaman sekelilingnya. Dengan cara automatik, jimat tenaga saya untuk menyiram, dan jika waktu hujan akan jimat air. Saya akan blog semula apabila sudah terima set berkenaan.

No comments: